Sunday 30 September 2012

Sekularisme Melahirkan Manusia yang Rosak


entry kali ni pasal sekular..


Mengapa ramai manusia yang mengaku Islam tetapi tidak terdidik dengan Islam? Jawapannya, kerana sistem yang mendidiknya pada hari bukanlah sistem Islam! Sistem yang diamalkan pada hari ini dipenuhi dengan kebebasan dari segi tingkah laku di mana hubungan lelaki dan perempuan dibiarkan sebebas-bebasnya. Malah saban hari media cetak dan elektronik mengiklankan dan menggalakkan gaya hidup ala binatang seperti ini.
 
 

Sistem pendidikan yang ada tidak diteraskan kepada aqidah Islam yang natijahnya melahirkan individu yang tidak memiliki syakhsiah Islam dan gagal memahami serta menyedari bahawasanya berzina itu haram dan pembuangan bayi boleh dianggap membunuh dan berdosa besar di sisi syarak. Bayangkanlah di peringkat sekolah lagi telah terjadi kes kehamilan (perzinaan) dan berakhir dengan pembunuhan yang penuh tragis seperti ini. Inilah realiti kehidupan di dalam sebuah negara sekular yang memisahkan agama dari kehidupan.




Inilah antara bukti kegagalan sistem sekular yang diterapkan oleh pemerintah yang ada. Inilah buah tangan yang dihadiahkan oleh penjajah berupa sistem kufur yang menafikan agama sebagai pengatur hidup. Ternyata pelbagai usaha serta kempen yang dianjurkan oleh pemerintah sebagai penyelesaian kepada masalah pembuangan bayi seperti kempen ‘Kami prihatin,’ Sekolah Harapan, baby hatch dan yang terkini Pendidikan Seks, kesemuanya merupakan penyelesaian yang cukup lemah dan sia-sia.

Islam telah menetapkan bahawa hubungan kelamin yang sah di sisi syarak adalah hubungan yang dijalin melalui ikatan pernikahan. Dengan ikatan halal inilah pasangan itu telah sah menjadi suami isteri dan seterusnya dari mereka akan lahirlah zuriat umat manusia.

Islam juga telah menetapkan sekiranya berlaku perzinaan, maka pelakunya wajib dihukum rejam (bagi pasangan yang sudah berkahwin) ataupun sebat 100 kali (bagi pasangan yang belum berkahwin) sepertimana Firman Allah SWT:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya dengan seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ An-Nur (24):2]
 

Maka untuk menyelesaikan masalah manusia secara menyeluruh, tidak ada cara lain melainkan kembali kepada Islam dengan menerapkan syariat dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara. Allah telah menurunkan sistem kehidupan yang sempurna untuk manusia seperti sistem pendidikan, ekonomi, pergaulan, uqubat dan sebagainya. Sesungguhnya hanya dengan sistem Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah pembuangan bayi serta seribu satu macam masalah yang lainnya. Inilah sistem yang mampu mengatur kehidupan manusia kerana ianya dicipta oleh Pencipta sekalian makhluk iaitu Allah SWT.



Sebagai individu, marilah sama-sama berusaha untuk menanamkan ketaqwaan dalam diri kita. Sebagai anggota masyarakat, menjadi kewajipan kita untuk mengajak kepada perkara yang makruf dan mencegah dari segala kemungkaran. Kepada pihak pemerintah, wajib ke atas kamu menerapkan sistem Islam dan berdosa besarlah pemerintah yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan!


sumber : UAI


-mzkesturi-

Wednesday 26 September 2012

Jom Hayati Kisah ini

kali ni aku nak bawa para pelancong blog aku hayati kisah kasih Ibu, sapa nak nangis, nangisla..sapa xnak pon xpe..
KISAH BENAR YANG MEMBUATKAN ANDA MENITISKAN AIR MATA Kalau nak kira, mak aku la harta yang paling mahal, paling berharga. Tak de nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat dengan mak aku. Dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak-anaknya. Cukup memahami. Abah aku orangnya agak garang masa kami kecik-kecik dulu. Prnah kami kena ‘pelangkung’ dengan dia sebab lambat mandi pagi nak pergi sekolah. Sejak hari tu aku dah ‘kurang’ sikit dengan abah. Apa-apa masalah aku mengadu dengan mak. Mak laa tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat keja sekolah, mintak duit belanja. Kena buli dengan kawan, semuanya mengadu dengan mak. Dengan abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani.

Abah pagi-pagi lepas hantar kitorang pergi sekolah dia pergi ladang, tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat terkadang tidur di pangkin bawah pokok rambutan tepi rumah. Macam tu la abah hari-hari, kami jarang dapat dengar suara dia, tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena. Masa tu terkadang aku rasa mengapa la aku ada abah, kalau ada mak je kan bagus. Tapi mungkin jugak abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami, kami dulu orang susah. Abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa. Untuk tampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, mak buat nasik lemak dan kuih tepung bungkus.


Pukul 5 pagi mak dah bangun bungkus nasi. Pagi-pagi lepas hantar kitorang pergi sekolah, abah singgah letak nasik lemak dengan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasik lemak sebungkus abah jual 30 sen, kuih tepung bungkus 15 sen. Kadang-kadang tu aku bawak jugak 2,3 bungkus nasik lemak jual kat kawan sekelas dapat duit belanja lebih hari tu. Aku dapat duk dengan mak sampai tingkatan 3, pastu aku masuk asrama vokasional Temerloh. Tapi tiap-tiap minggu balik kampung, sebab nak makan masakan mak. Keras tekak aku asyik makan nasik kawah, ikan jeket dengan sawi balak jer kat asrama. Petang jumaat balik kampung sampai rumah, terus cari nasik .

Mak, setiap jumaat dia dah tau, dia akan goreng ikan pelaling (ikan temenung), sayur togeh, ulam togeh dengan kacang botol, sambal belacan lada besar. Tu je favourite aku, ada set tu. Mamang makan tak ingat punya. Kadang-kadang tu mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3,4 kali ulang makan nasik.


Duduk asrama 2 tahun, lepas SPM aku kerja sementara di Tekam Resort. Nama je resort sebenarnya. Aku kerja dalam ladang jugak, kerja banci pokok. Gaji masa tu RM400. Tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambik gaji tu seronok bukan main. Macam-macam dah plan nak beli barang. Benda yang paling aku teringin masa tu, pancing bermesin (bukan manual). Dapat jer duit, terus pergi pekan beli. Aku ingat lagi, harga pancing tu RM75 satu set.

Balik rumah, petang tu duit lebih bagi kat mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat mak. Bayar balik duit minyak motor yang aku mintak kat dia setiap hari untuk pergi kerja. Menitik air mata mak bila dia pegang duit aku bagi tu. Aku ingat lagi masa tu dia kata “ni bukan duit minyak moto, ni duit kerja anak mak, alhamdullillah dapat dah mak merasa duit anak-anak”.


Aku kerja tak lama, aku dapat surat tawaran pergi UiTM (masa tu masih ITM) Shah Alam, jurusan elektrik untuk panggilan pertama. Masa tu, aku baru balik kerja, siap mandi, pastu makan. Mak masak sedap tengah hari tu. Tengah makan, mak cakap “haa…. makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni lagi”. Aik…aku tanya mengapa pulak. Mak kata ada surat kat depan ry. Dan-dan tu aku pergi ambik baca. Melompat aku masa tu. Aku tunjuk kat mak. Dia kata dia dah baca tadi. Berair mata mak masa tu, kata dia… “lepas dah anak mak 2 orang. Tinggal 2 lagi tu, tak tau macam mana.”


Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu, abang sulung aku yang tanggung. Masa tu dia di jepun study dan buat kerja part time jadi DJ. Masa aku tingkatan 4, mak bersalin adik perempuan. Kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni kami 4 beradik semuanya lelaki. Abah la orang paling gembira. Dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri abah. Abah dah tak macam dulu. Sesekali aku balik, aku tengok abah yang mengasuh adik, lebih dari mak. Syukur pada Allah, harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.


Namun, setahun selepas adik lahir, mak jatuh sakit. Tapi tak de la teruk sangat, cuma setakat pergi klinik jer. Lepas sebulan lebih, sakit mak tak sembuh-sembuh. Abah bawak mak pergi ke Hospital pakar kat hospital Mentakab. Diorang ambik sample darah. Lepas seminggu, diorang panggil pergi hospital semula, dah dapat keputusan.



Ya Allah, ujian telah menimpa kami semua. Mak disahkan kena barah payu dara. Doktor kata, untuk selamat, mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan. Bermula dari hari tu, kami sekeluarga tak senang duduk terutama abah. Merata dia cari tempat untuk berubat, sebab kalau boleh kami tak nak mak di operate.


Mak setiap hari menangis, bukan sebab sakit, tapi sebab dia risaukan adik perempuan yang masih kecik. Apa nasib adik bila dia dah takde nanti. Aku cukup tak tahan bila setiap kali mak tinggal pesan. “Mie… nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu jer. Mie…. kain batik mak ada 3 helai yang baru dalam almari, nanti orang datang, bukak ambik”. Air mata memang tak boleh tahan.

Sampai masa, mak terpaksa operate jugak. Doktor kata kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru. Masa tu aku ambik cuti seminggu, tangguh dulu pelajaran aku. Aku balik kampung, kena jaga adik. Lepas operate, mak dah mula jadi lemah. Kesian sangat aku tengok, doktor nak buat kemo, tapi tak boleh sebab badan mak terlampau lemah.


Lepas 2 minggu mak kat hospital. Dia dah beransur baik. Abah bawak balik. Mak sihat kat umah, tapi tak sepenuhnya, makan masih berpantang. Mak boleh berjalan, boleh buat kerja rumah macam biasa. Tapi tak lama, dalam sebulan lebih lepas tu, mak pengsan tiba-tiba. Abah bawak pergi hospital Jengka. Bermula hari tu…keadaan mak makin hari , makin teruk. Seminggu mak ditahan di hospital.


Kemudian, doktor bagi balik, keadaan mak dah elok sikit, tapi mak dah tak boleh berjalan masa tu. Kena guna kerusi roda. 2 hari je mak sempat duduk kat rumah, pastu abah terpakasa bawak mak pergi hospital semula, sebab keadaan mak dah terlalu lemah, mata tak boleh bukak, dah tak boleh bercakap, mak tak makan sejak balik ke rumah. Masuk jer makanan, mak akan terus muntah.

Doktor kata, penyakit mak dah teruk. Kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu mak tak boleh makan. Selama di hospital, mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya hati aku tengok muka mak dah cengkung, nafas tercungap-cungap. Tapi masa tu mak masih boleh bercakap. Satu yang aku amat kagum dengan mak, walaupun dia menderita sakit. Dia tak pernah dia sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam takde apa-apa, boleh buat lawak dan gelak-gelak lagi. Walhal aku tahu yang dia menanggung sakit yang teramat sangat. Doktor ada terangkan pada kami adik beradik, macam mana nak jaga orang sakit kanser. Doktor kata penyakit ni panas, lebih panas dari suhu bila kita demam, kemudian semua sendi satu badan akan sakit, perut rasa lapar tapi tak boleh makan. Penglihatan akan kabur. Di sebabkan paru-paru mak dah rosak, bila dia bernafas dia akan rasa sakit. Seksanya aku tengok mak. Tapi dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok mak peluk adik. Semakin hari, keadaan mak semakin teruk. Aku ambik keputusan untuk cuti satu semester. Abang aku yang di jepun pun balik.


Hati mak dah mula membengkak. Perut dia buncit macam di pam-pam. Berkilat dan boleh nampak urat. Mata mak dah tak terang, bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap. Dan masa tu juga, pemikiran mak dah menjadi tak berapa normal. Dia dah tak kenal dah orang yg pergi melawat dia, kecuali hanya anak-anak dia. Ada satu masa, aku tengah urut tangan dia, dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku, aku tanya kenapa. Mak kata ada habuk penuh atas kepala aku, jadi dia nak sapu buang. Masa tu jugak merambu keluar air mata aku. Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia. Dah hampir 3 bulan mak di hospital Jengka, dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana. Semua nurse dan doktor kami kenal.


Selama tu jugalah kami adik beradik jaga mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalanya. Walaupun kami lelaki, jururawat kat situ dah tak kesah. Pada mulanya mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Tapi kami jumpa doktor dan ketua nurse, , mintak kebenaran sebab kami takde adik-beradik perempuan (kecuali adik). Lagipun mak perlukan orang tunggu 24 jam, sebab bila mak kejang kena ada orang urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa mak sementara hayatnya masih ada.

Akhirnya, kami bawak mak balik ke rumah. Sebab mak kata dia tak nak mati di hospital, dia nak mati di rumah sendiri, nak tengok anak-anak dia dan suami dia. Kami mintak dengan doktor, dan doktor benarkan. Doktor kata, memang mak dah takde harapan. Bila mak sampai rumah, suatu keajaban berlaku. Mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. Cuma mata dia jer masih kelabu. Dia makan, kami bagi semua makanan yang dia suka. Apa yang dia sebut, kami cari. Kami ambik semua baju baru mak, kami pakaikan pada dia. Mak sembang dengan semua orang, mintak maaf dengan semua. Mak terpaksa baring mengiring, sebab perut dia semakin membesar.


Lebih kurang seminggu mak kat rumah. Mak nazak. Hari tu pagi sabtu. Nafas mak tersekat-sekat. Masa tu mak dah dak boleh bercakap, suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru boleh dengar. Tengah hari tu, kami dah tak sampai hati lagi tengok mak dalam keadaan tu. Seksa sangat, umpama ikan dilempar ke darat.

Kami sekeluarga berbincang. Tanya pendapat orang tua, dan melihat kepada tanda-tandanya, hari ni mungkin sampailah masa tamatnya penderitaan mak setelah sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok mak terseksa lebih lama. Kami adik-beradik dan abah pergi pada mak. Kami mintak ampun, mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mintak halal makan minum kami, mintak halal air susu yang kami minum.


“Mak… emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa emie pada mak, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Emie mintak halal makan minum emie selama ni, emie mintak halal air susu yang emie minum.” Banyak lagi aku nak sebut pada mak, tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah kenapalah jadi macam ni. Kami kucup dahi mak, kami cium kaki mak. Air mata mak mengalir. Kami letak adik tepi mak. Bagi mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata mak mengalir setiap kali bila tengok adik. Kesian adik, lepas ni dia dah tak dapat jumpa mak. Tak dapat merasa kasih sayang mak lagi. Mak bisikkan sesuatu pada abah. Air mata abah mengalir. Nilah seumur hidup aku nampak abah menangis. Abah kucup dahi mak. Kemudian, dengan amat terpaksa kami terlentangkan mak. Aku terpaksa, kami terpaksa. Kami sayangkan mak. Tak nak mak terseksa lagi. Tak lama, mak sesak nafas, abah ajar mak mengucap. Allahhuakbar, aku saksikan sendiri, betapa seksanya menuju kematian…betapa teruknya sakaratul maut. Inilah yang dinamakan ‘mabuk kematian’. Amat dahsyat dan menyakitkan… Tengok saja pun dah tak tahan. Apatah lagi yang merasainya.


Akhirnya….

“Innalillahiwainna ilaihiroo-jiun….. ”

Ibu tercinta pergi buat selamanya………

Maaf, setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini….. linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.

INGAT!!! IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI. JIKA DAH TIADA, MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU. KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG, AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU ANDA, MINTAK AMPUN PADANYA. GEMBIRAKAN DIA.

Sekian, semoga kita semua dapat benar-benar menghargai ibu kita. Hiburkan hati ibu, gembira kan mereka selagi mereka masih hidup. Berusahalah untuk menjadi anak yang soleh atau solehah yang dapat membuatkan mereka berbangga memiliki anak seperti kita.


-mzkesturi-

Wednesday 19 September 2012

[FAKTA] 10 PEMIMPIN PALING KEJAM

Di bawah ini adalah senarai pemimpin paling kejam didunia. Mereka ini terkenal dengan kekejaman yang membunuh tanpa berperikemanusiaan.

Berikut adalah 10 pemimpin paling kejam:-



1) JOSEF STALIN




KUASA KEKEJAMAN: General Secretary Of The Communist Party Of The Soviet Union’s Central Committee


TARIKH KEKEJAMAN: 1922 hinga 1953


REKOD KEKEJAMAN: cukup sekadar mengatakan, jumlah yang telah dibunuh beliau sepanjang pemerintahan nya dianggarkan antara 10 JUTA hingga 60 JUTA MANUSIA.


2) ADOLF HITLER




KUASA KEKEJAMAN: Canselor Jerman dan “FUHRER” Jerman


TARIKH KEKEJAMAN: 1934 hingga 1945


REKOD KEKEJAMAN: Sehingga akhir perang dunia kedua, polisi Hitler yang ingin meluaskan kekuasaannya dengan menjajah dan bersifat perkauman yang tinggi menyebabkan kemusnahan dan kematian lebih 10 JUTA manusia termasuk 6 JUTA yahudi di dalam pembunuhan beramai-ramai yang dipanggil ‘holocaust’.


3) IVAN IV OF RUSSIA (A.K.A IVAN THE TERRIBLE)




KUASA KEKEJAMAN: Grand Duke Of Muscovy dan pemerintah pertama Russia yang mendapat gelaran Tsar


TARIKH KEKEJAMAN: 1533 hingga 1547 (Grand duke Of Muscovy)


REKOD KEKEJAMAN: Pada 1570, Ivan percaya bahawa golongan elit di bandar Novgorod ingin melumpuhkan Poland dan pada januari 2, Ivan memerintahkan askarnya untuk menghalang mereka dengan cara membina satu tembok besar mengelilingi kawasan bandar tersebut. Setiap hari, akan dikumpulkan 500 hingga 1000 orang kemudian DISEKSA dan DIBUNUH dihadapan Ivan dan anaknya. Pada 1581, Ivan telah menumbuk menantunya sehingga berlakunya keguguran hanya kerana memakai pakaian yang tidak disukainya. Anak beliau, yang juga bernama Ivan, yang mengetahui hal itu, telah membantah tindakan ayahnya itu akhirnya Ivan telah menyerang anaknya itu dengan menggunakan tongkatnya menyebab kematian serta merta anak beliau.


4) VLAD III(A.K.A VLAD THE IMALER)




KUASA KEKEJAMAN: Pemerintah Romania


TARIKH KEKEJAMAN: Putera Wallachia sebanyak tiga kali antara 1448 hingga 1476


REKOD KEKEJAMAN: lebih dikenali dengan melakukan hukuman yang sangat kejam dan sebagai sumber inspirasi watak utama, novel popular Bram Stoker, Dracula. Beliau juga terkenal dengan pelbagai seksaan kejam yang telah dilakukan. Antaranya ialah paku ke kepala, memotong limpa, membutakan mata, membakar, memotong hidung dan telinga, mengerat anggota kemaluan (terutama wanita), menyiat kulit, meletakkan mangsa didalam sangka yang mempunyai haiwan ganas dan merebus hidup-hidup. Sesetengah mengatakan dalam tahun 1460, terdapat pembunuhan dan penyeksaan melibatkan 10,000 orang hanya dalam satu masa.



5) POL POT



KUASA KEKEJAMAN: Pemimpin Khmer Rouge dan Perdana Menteri Kemboja


TARIKH KEKEJAMAN: 1976 hingga 1979



REKOD KEKEJAMAN: Gabungan antara buruh paksa, penjagaan perubatan yang lemah dan pembunuhan yang dilakukan beliau telah menyebabkan kematian 2 juta orang kemboja (1/3 populasi rakyat kemboja) sepanjang pemerintahannya selama 3 tahun. Khmer Rouge telah melakukan banyak pembunuhan di tempat yang dinamakan ‘Killing Fields’. Mayat kemudian ditanam di dalam satu kubur besar. Untuk menjimatkan peluru, pembunuhan dilakukan dengan menggunakan pemegang kapak, tukul, tombak dan buluh yang ditajamkan.


6) LEOPOLDII




KUASA KEKEJAMAN: Raja Belgium


TARIKH KEKEJAMAN: 1865 hingga 1909


REKOD KEKEJAMAN: beliau telah menubuhkan Congo Free State, satu projek persendirian untuk mengutip hasil getah di tengah benua afrika. Projek ini menyebabkan ramai tenaga buruh dari Congo dipaksa dan juga menyebabkan kematian sehingga 3 juta orang hamba dari Congo. Tanah persendirian yang dimiliki oleh beliau adalah amat besar yang keluasannya 76 kali lebih besar dari Belgium yang menyebabkan beliau bebas untuk memerintah sesuka hati dengan tentera pribadinya, Force Publique.


7) IDI AMIN DADA




KUASA: Presiden Uganda dan Pegawai Tentera


TARIKH KEKEJAMAN: mengambil alih tampuk pemerintahan tentera pada 1971


REKOD KEKEJAMAN: wataknya digambarkan sebagai pencabul hak asasi manusia, memimpin dengan kuasa veto, penyeksa etnik, membunuh tanpa menghakim dan pengusiran kaum india dari uganda. Jumlah mangsa yang terbunuh sejak beliau memerintah dianggarkan antara 80,000 hingga 500,000. Pada ogos, 4, 1972, Amin menyuarakan pendapatnya untuk mengusir 60,000 orang asia yang bukan penduduk uganda (kebanyakan mereka pemegang passport British). Kemudian beliau membuat pindaan terhadap pengusiran 80,000 orang asia, kecuali doktor, peguam dan guru.



8) AYATOLLAH KHOMEINI




KUASA KEKEJAMAN: Pemimpin Agama Iran


TARIKH KEKEJAMAN: 1979 hingga 1989 (beliau mati disebabkan kanser pada umur 86 tahun)


REKOD KEKEJAMAN: beliau telah melakukan pembunuhan secara beramai-ramai didalam penjara selepas menyoal dan menghakimi yang tidak mahu tunduk kepada rejim pemerintahan ketika itu. Dianggarkan angka sebenar kematian didalam pembunuhan tersebut ialah 30,000 orang.


9)MAXIMILIEN ROBESPIERRE


KUASA: Pemimpin Revolusi Perancis


TARIKH PEMERINTAHAN: dihukum mati tanpa bicara pada tahun 1794


REKOD KEKEJAMAN: beliau merupakan salah satu dari punca utama yang menyebabkan keganasan dan kekejaman ketika pra-revolusi perancis selama 10 bulan. Dalam masa itu, seramai 18,500 hingga 40,000 nyawa telah terbunuh kerana dihukum oleh tribunal revolusi yang diketuai olehnya.



10) ATILIA THE HUN




KUASA KEKEJAMAN: Pemimpin Empayar Hunnic


TARIKH KEKEJAMAN: 434 hingga 453
REKOD KEKEJAMAN: Semasa penaklukannya di Austria hingga Jerman, beliau telah membunuh dan menghancurkan segala apa yang menjadi rintangannya yang menjadi rekod paling kejam dalam sejarah penaklukan orang gasar (Barbarian). Beliau juga merendamkan dirinya di dalam darahnya sendiri di malam perkahwinannya.

-mzkesturi-






Monday 3 September 2012

Ilmu Untuk Kaum Hawa

Hukum Wanita Mengukir Hiasan Pada Tangan Menggunakan inai..

Bagaimana pula hukum memakai inai yang berukir di tangan. Sekarang ini ramai perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan berupa awan larat ataupun daun. Kita lihat dan nilai berdasarkan hadis Nabi ini :

Dari Ibnu Umar r.a katanya: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan Baginda mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu." [hadith bil. 2003 : Sahih Muslim]


Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain,wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)" [hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari]



Jelas Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz: "Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu adalah kategori tatu,kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul di hujung jari."

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

- Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.


- Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.

- Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

- Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Jangan sampai kita menolak syariat semata-mata untuk mengikut adat. Apa gunanya kita beragama Islam, apa gunanya kita bermazhab jikalau kita tidak mengikuti syariat dan hukum yang telah ditetapkan. Sama-sama kita renungkan wahai pembaca yang budiman

-mzkesturi-