Ted Bundy
DIA mempunyai perwatakan menarik dan bijak yang didakwa
mampu memikat golongan wanita. Tetapi, di sebalik wajah kacaknya, lelaki
dikenali sebagai Ted Bundy ini sebenarnya adalah seorang penculik, perogol,
pembunuh bersiri yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat (AS) pada era
1970-an.
Pemilik nama sebenar
Theodore Robert Cowell ini dilahirkan pada 24 November 1946 di Elizabeth Lund
Home di Burlington. Vermont.
Dia dibesarkan di
rumah datuk dan neneknya di Philadelphia.
Pada 1951, Bundy
berpindah ke Tacoma, Washington selepas ibunya, Louise Cowell berkahwin dengan
seorang tukang masak Johnny Culpepper Bundy.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan tanggapan negatif
masyarakat pada masa itu berikutan statusnya sebagai anak tidak sah taraf,
Bundy membesar sebagai seorang remaja yang baik dan sering mendapat keputusan
cemerlang di sekolah.
Selepas tamat sekolah
tinggi pada 1965, dia melanjutkan pengajian ke Universiti Puget Sound, sebelum
berpindah ke Universiti Washington pada 1966 atas sebab tidak selesa
dikelilingi rakan dari golongan berada.
Walaupun dilabel
sebagai pelajar cemerlang, Bundy dikatakan mengalami masalah malu melampau
hingga menjejaskan kehidupan sosialnya.
Dia jarang melibatkan
diri dengan aktiviti sosial, namun pada 1967 Bundy bertemu dengan cinta
pertamanya.
Bagaimanapun, gadis
cantik dari keluarga berada tersebut bertindak memutuskan hubungan mereka
setahun selepas itu walaupun Bundy telah berusaha bersungguh-sungguh untuk
memenangi hatinya.
Alami kemurungan
Bundy mengalami
kemurungan selepas berpisah dengan teman wanitanya.
Bagaimanapun, tidak
lama selepas itu dia menjalinkan hubungan dengan seorang ibu tunggal yang
menggunakan nama samaran, Elizabeth Kendall. Dia dikatakan mengalami perubahan
drastik daripada seorang pemalu menjadi pura-pura berani sebelum kembali semula
ke universiti dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Psikologi pada
1972. Selain itu, Bundy turut mendapat surat perakuan daripada Gabenor
Washington, Daniel J Evans kerana membantunya dalam kempen pemilihan semula. Selepas
kemenangan gabenor tersebut, Bundy dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa
Pencegahan Jenayah Seattle. Pada 1973,
dia terus melibatkan diri dalam bidang politik dan kerjayanya terus berkembang
selepas menjadi pembantu kepada Pengerusi Parti Republikan, Ross Davis.
Ketika ini, ramai
wanita di Washington, Seattle dan Oregon mula dilaporkan hilang. Menurut saksi,
beberapa mangsa dilihat kali terakhir bersama seorang lelaki muda, berambut
gelap dan dikenali sebagai 'Ted'. Bundy sering memperdaya mangsa dengan cara
berpura-pura cedera untuk mendapat simpati mereka. Pada tahun 1974, Bundy
mendaftar sebagai penuntut undang-undang di Universiti Utah dan berpindah ke
Salt Lake City. Pada masa itu, beberapa kes kehilangan misteri wanita
terutamanya pelajar kolej dilaporkan secara meluas.
Ted Bundy
Kejahatan terbongkar
Pada Ogos 1975,
kejahatan Bundy terbongkar selepas dia ditahan kerana cuba untuk melarikan diri
dari polis. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui gari, alat pemecah ais,
topeng, tali dan beberapa lagi objek yang mencurigakan. Bundy diberkas selepas
disyaki terlibat dalam kes rompakan berdasarkan penemuan pelbagai barangan
tersebut. Persamaan bahan bukti dan keterangan salah seorang mangsa, Carol
DaRonch menyebabkan Bundy dihukum penjara 15 tahun atas kesalahan menculik oleh
mahkamah pada 1975. Dua tahun selepas itu, dia dituduh pula membunuh seorang
wanita di Colorado. Ketika perbicaraan, Bundy berjaya melarikan diri tetapi
ditahan semula selepas lapan hari.
Dihukum mati
Pada 30 Disember
1977, dia berjaya meloloskan diri buat kali kedua dari penjara dan perkara itu
tidak disedari pihak berkuasa selama 15 jam. Kelalaian tersebut memberi peluang
kepadanya untuk melarikan diri hingga ke Tallahassee, Florida. Pada 14 Januari
1978, Bundy yang menggunakan nama palsu, Chris Hagen bertindak memecah masuk
rumah Kelab Chi Omega di Universiti Florida dan menyerang empat pelajar serta
membunuh dua daripada mereka. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia
ditangkap semula oleh polis selepas dipercayai menculik dan membunuh Kimberly
Leach, 12, pada 9 Februari 1978. Pada Julai 1979, mahkamah mendapati Bundy
bersalah membunuh dua ahli Kelab Chi Omega dan Kimberly Leach dan dikenakan
hukuman mati dengan kerusi elektrik. Sebelum hukuman itu dilaksanakan pada 24
Januari 1989, Bundy mengaku melakukan 36 pembunuhan di enam negeri di Amerika
Syarikat antara tahun 1974 dan 1978 walaupun penyiasat menganggarkan jumlah
sebenar mungkin melebihi seratus orang.
-mzkesturi-
No comments:
Post a Comment