Assalamualaikum, kali ini saya nak bawa semua untuk berfikir sejenak tentang 7 kesilapan kewangan. Bagi para remaja, kita juga perlu mempunyai pengetahuan serba-sedikit tentang hal kewangan kerana tidak ada orang di dunia akan sentiasa muda, pasti meningkat usia. Lain pula jika di beri kesempatan Allah kepada hambanya, sepeti yang berlaku kepada AshabulKahfi.
Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, muhasabah bererti introspeksi iaitu peninjauan atau pembetulan terhadap perbuatan, sikap, kelemahan dan kesalahan diri sendiri. Dalam bahasa Arab, kata muhasabah adalah bentuk jamak dari kata “muhasaba” yang berasal dari kata “hisab” iaitu perhitungan atau “hasaba” ertinya menghitung. Tentu ada pembaca yang tertanya akan kaitannya dengan perancangan kewangan. Ada tiga sebab utama kenapa kita tidak patut malas melakukan muhasabah kewangan secara sistematik.
Pertamanya lebih kerap kita melakukan muhasabah kewangan, lebih yakin prestasi kewangan kerana kita akan sedar sudah berada pada haluan yang benar menuju wawasan kewangan yang ditetapkan.
Keduanya jika berlaku gangguan atau tempias ekonomi kita berupaya melakukan pembetulan m Keduanya jika berlaku gangguan atau tempias ekonomi kita berupaya melakukan pembetulan umpama nakhoda kapal yang mengendali bahtera di tengah lautan yang bergelora.
Sebab ketiga ini menjurus kepada pembaca Islam berdasarkan surah Al-Mu'min ayat 16:
"Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Tuhan itu amat cepat hisabnya."
Ayat itu menjelaskan bahwa setiap usaha dan perbuatan yang manusia lakukan akan dihisab oleh Tuhan dan mereka akan mendapatkan pembalasan sesuai dengan aktiviti masing-masing termasuk semua kegiatan kewangan.
Sesiapa sahaja tidak kira pencapaian kewangan mereka sekarang boleh melakukan muhasabah kewangan. Hakikatnya semakin kaya seseorang itu semakin mustahak baginya melakukan introspeksi samada seorang diri atau dengan bantuan penasihat profesional. Berikut saya berikan satu teknik muhasabah kewangan iaitu dengan bertanya berapa banyak kesilapan kewangan berikut yang masih dilakukan secara sedar atau tidak.
1. Sentiasa menangguh untuk memulakan sistem perancangan
Tidak syak lagi inilah kesilapan yang paling besar sekali. Tanyalah diri anda sendiri sudah berapa kali ucapan seperti tidak apa, nanti dulu, lepas kahwin, bila anak dah besar dijadikan alasan untuk tidak memulakan plan kewangan seperti tabungan untuk pendidikan anak, insuran perubatan atau membuat temu-janji dengan perancang kewangan bagi membaik pulih pinjaman anda
2. Gagal menetapkan matlamat kewangan dan cara mencapainya
Kita sendiri sedar yang tiada orang yang merancang untuk gagal tetapi kebanyakannya gagal merancang. Mungkin kerana sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab anda tidak mempunyai masa untuk menulis di atas kertas jawapan kepada soalan-soalan seperti:
• Apakah 3 matlamat kewangan paling kritikal?
• Bila jangkamasa pencapaiannya?
• Berapa yang perlu diperuntukkan setiap bulan?
3. Kekurangan disiplin untuk menabung secara sistematik
Media massa sekarang ini dipenuhi dengan iklan dan propaganda bertujuan menggalakkan kita berbelanja lebih dari yang sepatutnya. Tetapi patutkah media massa dipersalahkan? Apakah ada sistem atau rahsia yang boleh menyelamatkan wang kita daripada lanun-lanun seperti kad kredit, jualan murah, desakan rakan sebaya dan gaya hidup serba glamour?
4. Kejahilan tentang konsep nilai masa (time value) wang
Semua orang tahu pasal hutang kad kredit, hutang along dan hutang pinjaman perumahan yang seolah-olah tak pernah habis dibayar dan kalau dapat dibayar pun akan mengambil masa yang lama. Tetapi malangnya masih ramai yang lebih suka "menyimpan"' dengan syarikat kad kredit dan sentiasa merungut tidak cukup wang.
5. Perlindungan Insurans/Takaful yang tidak mencukupi
Apabila memulakan satu sistem simpanan untuk tujuan tertentu contohnya deposit pembelian rumah, tabung pendidikan anak, ada risiko yang boleh menyebabkan wang simpanan tersebut tiba-tiba hangus. Contohnya seperti belanja perubatan, hilang upaya bekerja, kemalangan. Bolehkah kita berserah kepada takdir semata-mata untuk memastikan matlamat kewangan kita tercapai?
6. Kegagalan menangani “’musuh” wang yang utama iaitu inflasi
Bayangkan harga sebuku roti 10 tahun dari sekarang , atau segelas teh tarik. Kajian KWSP telah pun menunjukkan bahawa duit simpanan yang diambil oleh pencarum sewaktu usia 55 tahun habis dalam jangkamasa 3 tahun sahaja. Anda bagaimana , apa senjata yang ada untuk melawan inflasi, kanser kewangan nombor satu?
7. Keengganan menggunakan perkhidmatan penasihat kewangan bertauliah
Semua orang tahu bila sakit harus jumpa doktor bukan peguam. Begitu juga kalau ada kes undang-undang jumpa peguam bukan doktor. Tidakkah logik untuk meminta khidmat nasihat seorang penasihat kewangan bagi mengatasi dilema kewangan anda? Kesilapan ini telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu memperkenalkan skim cepat kaya dan pembelian produk-produk kewangan yang tidak sepadan dengan profil kewangan pelanggan.
Selepas melakukan muhasabah di atas kita patut sambung dengan muhasabah mengaudit kedudukan kewangan kita. Kalau tidak buat audit kewangan peribadi ini, saya jamin anda akan menemui kebuntuan hari ini dan seterusnya dalam cubaan untuk melepaskan diri dari belenggu kewangan. Audit bermaksud menyediakan dua penyata kewangan iaitu Wang Masuk Wang Keluar (WMWK) dan penyata aset-liabiliti (A-L). Boleh guna pen dan kertas atau lebih baik lagi gunakan perisian kewangan seperti Excel atau Google Docs.
Dari audit WMWK, kita boleh melihat di mana berlakunya pembaziran dan apakah perlu untuk menambah pendapatan. Sebabnya betapa bijak kita berjimat cermat akan sampai satu masa di mana inflasi dan tanggungjawab baru akan merimaskan situasi semula. Dari penyata A-L pula kita boleh atur strategi untuk berperang dengan hutang dan melihat samada harta kita patut disimpan, dijual atau dibiarkan begitu sahaja. Memang hebat jika para remaja sudah memulakan muhasabah kewangan. (klik di sini)
-mzkesturi-
No comments:
Post a Comment